Bromeliad adalah sejenis tumbuhan epifit, asalnya hidup menumpang pada tumbuhan lain, di atas tanah, di celahan batu atau di tepi-tepi tebing gunung. Oleh kerana bentuk, warna dan corak yang menarik, disamping memerlukan hanya sedikit penyelenggaraan, bromeliad telah menjadi satu tanaman hiasan yang semakin popular. Walau sebahagiannya hidup menumpang, namun ia tidak mendapatkan makanan daripada tumbuhan yang ditumpanginya (bukan parasit). Tumbuhan ini mendapat air dan nutrien dari udara, air hujan, dan juga sisa-sisa disekeliling mereka.
Bromeliad adalah tumbuhan yang berkembang dengan perlahan, dan kebanyakannya hanya akan berbunga sekali saja dalam hidup mereka. Mereka juga tumbuh dengan jangka hayat yang pendek, dan kebanyakan bromeliad akan mati selepas berbunga. Kebiasaannya, induk akan menghasilkan banyak anak pokok sebelum mati.
Tidak seperti kebanyakan tumbuh-tumbuhan, bromeliad tidak
mendapat nutrien dari akar. Akar digunakan untuk menaikkan diri mereka kepada
sokongan yang lebih kuat. Oleh kerana mereka mengambil nutrien dan air melalui
daun, cara penyiraman dan media tanaman bromeliad memainkan peranan yang sangat
penting.
CARA PENJAGAAN
Bromeliad tidak memerlukan sumber air melalui tanah, sebaliknya
ia mempunyai ruang penyimpanan seperti tangki di pusat daun yang sentiasa perlu
dipenuhi air. Selagi ada air segar di tangkinya, bromeliad akan hidup segar.
Amat penting untuk memastikan air dalam tangki bersih dan segar.
Gantikan selalu dan pastikan air yang digunakan adalah air yang bebas dari
bahan kimia seperti air hujan atau air yang ditapis.
Bromeliad sangat sukakan kelembapan. Daunnya akan menjadi lebih
berkilat didalam kelembapan yang tinggi seperti pada musim hujan. Namun
pastikan tiada air yang bertakung di dalam media tanaman pokok hiasan ini.
Media tanaman yang paling sesuai untuk bromeliad adalah sabut, arang atau
serpihan kayu.
PENCAHAYAAN
Bromeliad tidak memerlukan cahaya yang terang. Cahaya matahari
langsung boleh membakar daun. Untuk hasil yang terbaik, letakkan bromeliad anda
di tempat di mana ia mendapat cahaya sederhana dan sedikit terang seperti
dibawah net hitam, bawah pokok atau bumbung.
PEMBAJAAN
Berita baik buat semua, bromeliad tidak memerlukan baja.
Bromeliad tumbuh secara semulajadi dengan subur, meletakkan baja tidak
semestinya akan membantu mereka tumbuh lebih cepat. Tetapi, seperti tumbuhan
lain bromeliad akan mendapat manfaat daripada nutrien tambahan. Sekiranya anda
ingin membaja bromeliad anda, gunakan baja yang sesuai untuk pertumbuhan.
Pastikan hanya menggunakan baja cecair organik, kerana bromeliad
sangat sensitif terhadap bahan kimia.
Harga tumbuhan ini agak mahal, namun kerana penjagaannya yang mudah, kos penyelenggaraan dapat dikurangkan. So guys, tepuk dada tanya selera…
No comments :
Post a Comment